Dr Chen Tai Ho, doktor kecantikan kami di Klinik Premier, mempunyai ruangannya sendiri di dalam akhbar The Star yang disiarkan setiap dua minggu di dalam bahagian Fit4Life.
Di dalam rencananya yang diterbitkan pada 3 Ogos 2014, Dr Chen menerangkan sebabnya ramai orang tidak berjaya menurunkan berat badan walaupun selepas bersenam atau melakukan latihan jasmani di gim.
Kunci menurunkan berat badan adalah dengan meninggikan kadar metabolisme dan bersenam dengan lebih berat dan lebih lama.
Klinik kami membekalkan ubat penurun berat badan seperti Duromine dan Adipex (Phentermine 30mg dan 15mg), pembakar lemak dan pengikat lemak seperti Zenoctil dan Liposinol. Kami juga menjalankan program menguruskan badan menggunakan hormon Gonadotropin Korion Manusia (HCG).
Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya tentang ubat penurun berat badan kami, layarilah laman web kami di sini.
Dan untuk memahami kaedah HCG yang dapat menyusutkan berat badan dengan pantas dan berkesan, pergi ke halaman ini.
Rencana yang diterbitkan di dalam akhbar The Star disiarkan di sini.
Rencana tersebut diterbitkan semula seluruhnya di bawah ini:
DEMI KECANTIKAN ANDA: Sebab-sebab berat badan anda tidak menyusut walaupun anda bersenam dengan tekun. Salah satu sebab utama orang datang ke klinik kecantikan seperti klinik saya ini adalah kerana ingin menguruskan badan. Ramai pelanggan saya mengatakan bahawa mereka rajin bersenam di gim tetapi masih gagal menurunkan berat badan. Apatah lagi, ada yang naik pula berat badannya. Mereka meminta pertolongan saya untuk menyelesaikan teka-teki hidup ini.
Semasa mereka muda, orang begini boleh melahap sepinggan kuih tetapi berat badan mereka tidak akan naik walau sedikit pun. Tetapi sekarang, dengan hanya menjeling ke arah sebiji kuih koci pun sudah cukup untuk menyendatkan baju. Menurut kata merekalah.
Apa yang sedang berlaku?
Sedarlah, wahai kawan-kawanku. Sebabnya ialah kita semua semakin tua.
Apabila usia meningkat, kadar metabolisme menurun, otot mengecut, dan kita lebih mudah menyimpan tisu adipos.
Dengan kadar metabolisme yang semakin perlahan, badan kurang banyak membakar kalori semasa berehat dan juga semasa melakukan gerak kerja jasmani.
Urat otot yang mengecut pula menurunkan kadar metabolisme dasar kerana kita kurang memerlukan tenaga untuk menampung kegiatan otot kita.
Itulah sebabnya kita lebih mudah menurunkan berat badan dengan cara bersenam dan menjaga makanan semasa kita muda. Tetapi selepas usia pertengahan 30-an, lemak tambahan dan perut yang buncit menjadi terlalu sukar disingkirkan.
Menurut Profil Penyakit Tidak Berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2011, rakyat Malaysia adalah yang paling gemuk antara semua penduduk di Asia Tenggara.
Seramai 44.2% antara kita gemuk.
Salah satu sebabnya adalah kerana kita sering mengumpamakan senaman itu bagaikan suatu penyakit yang patut dijauhi. Apabila saya memberitahu pelanggan saya bahawa mereka perlu bersenam sekurang-kurangnya setengah jam sehari, lima hari seminggu, wajah mereka berubah dengan ketara sekali. Kadangkala, mereka membeliakkan mata, seolah-olah berkata “Doktor gilakah? Doktor mahu saya bersenam? Lebih senang kalau doktor ikat sahaja tangan saya dan suruh saya berenang merentasi Selat Melaka”. Warga Malaysia tidak suka bersenam kerana mereka merasakan bahawa senaman itu memenatkan, memakan masa, menyusahkan atau membosankan.
Mereka lebih suka berbaring sambil menonton televisyen, bersembang dengan kawan-kawan di gerai mamak, atau melayari Internet pada telefon bimbit masing-masing pada masa lapang, daripada berjoging atau bersenam.
Di gim pula, saya selalu nampak pengguna gim membaca majalah, ataupun melayan permainan atau Facebook pada telefon bimbit sambil mengayuh basikal pegun atau berjalan di atas mesin injak dengan teramatlah perlahan.
Mereka tidak banyak berpeluh pun kerana mereka hanya mengayuh atau berjalan seperti kura-kura dan tidak bertumpu pada senaman yang dilakukan.
Sudahlah senaman mereka itu tidak berkesan, apatah lagi berbahaya kerana mereka boleh jatuh tergolek kerana leka, lalu tercedera.
Saya juga pernah lihat orang yang berada berjam-jam di gim tetapi langsung tidak mengeluarkan setitik peluh pun. Baju yang dipakai kering sepanjang masa mereka berada di situ kerana mereka sibuk bersembang-sembang sahaja pada kebanyakan masa.
Gim menjadi tempat yang ditujui untuk mencari kawan pula, dan bukannya untuk bersenam. Senamannya tidak bermutu kerana tidak dilakukan dengan sebulat hati.
Ada juga orang yang menuju terus ke sauna dan bilik wap di gim kerana mereka menyangka bahawa lemak boleh dileburkan melalui peluh. Benar, berat badan memang akan menurun dengan cepat di sauna, tetapi itu cuma berat air, dan berat badan anda akan kembali kepada yang asal sebaik sahaja anda minum.
Sama ada anda berjoging, bermain tenis, melakukan senaman yoga atau berlatih mengangkat beratan di gim, kunci menggugurkan lemak adalah dengan melakukan senaman yang lebih memerlukan kekuatan ataupun bersenam dengan lebih lama, atau kedua-duanya sekali. Semakin pantas anda berlari, semakin tinggi anda melompat, semakin berat beban yang anda angkat, maka semakin banyaklah kalori yang anda bakar. Jika anda tidak boleh melakukan senaman berat kerana anda tercedera atau penat, cuba panjangkan dan kerapkan masa senaman setiap minggu.
Salah satu cara mengekalkan semangat agar dapat meneruskan senaman yang tetap adalah dengan mencari rakan senaman. Ajaklah ahli keluarga atau kawan anda untuk sama-sama bersenam dengan anda supaya aktiviti itu menjadi lebih riang dan menyeronokkan.
Tetapi ingat, anda tetap perlu bersenam dan bukannya hanya bersembang.
Saya tidaklah begitu berdisiplin apabila bersenam, terutamanya apabila melakukan latihan mengangkat beratan.
Saya tidak suka rasa otot yang lenguh dan pergerakan berulang-ulang yang amat membosankan. Itulah sebabnya saya mengambil khidmat jurulatih peribadi.
Lima hari seminggu, jurulatih saya memastikan saya bersenam dengan cara yang betul dan pada keamatan yang betul.
Apabila saya patah semangat, dia mendesak saya untuk menghabiskan juga beberapa gerakan lagi supaya senaman itu dapat saya manfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Jurulatih peribadi yang berpengalaman akan berusaha seiring dengan anda, dan merancang senaman yang terbaik untuk anda, sama ada untuk mengurangkan berat badan ataupun untuk membina otot. Jurulatih akan memberi anda galakan sepanjang tempoh perjuangan anda dan juga memberikan nasihat yang berguna tentang pemakanan.
Gunakan khidmat jurulatih peribadi jika kemampuan kewangan anda mengizinkannya!