Selamat datang ke Klinik Premier


  Telefon/ Whatsapp/ SMS: +60-12-662 5552   ATAU   Atur Janji Temu

Rencana oleh Dr Chen mengenai Prosedur Kecantikan untuk Lelaki

Dr Chen Tai Ho, doktor kecantikan di Klinik Premier, Kuala Lumpur, telah menulis sebuah rencana tentang prosedur kecantikan untuk lelaki. Beliau bercerita mengenai kaum lelaki hari ini yang semakin ramai memilih prosedur kecantikan kerana semakin sedar tentang rawatan yang ada untuk lelaki.

Rencana tersebut telah diterbitkan pada 12 Oktober 2014 di dalam akhbar The Star. Dr Chen ada ruangan tetap di dalam beberapa akhbar dan majalah termasuklah The Star.

Bacalah rencana-rencana karya Dr Chen di sini.

Lelaki sanggup melaluinya, dan mereka tidak takut menjalani prosedur kecantikan untuk menegangkan bahagian-bahagian yang kendur dan mencantikkan penampilan diri mereka.

Memang benar lelaki tidak menghadapi perubahan hormon yang berlaku dengan usia yang meningkat seperti yang dideritai wanita. Walau bagaimanapun, usia biologi lelaki tetap meningkat.

Tampak rupa badan lelaki berubah kerana dimakan masa. Ini boleh menimbulkan perasaan harga diri yang rendah atau negatif, yang seterusnya boleh mengganggu kesihatan mental lelaki. Ramai yang mahu melambatkan kesan usia dan ingin melanjutkan rupa yang muda dengan seberapa lama yang boleh.

Disebabkan trend baru ini, saya dapati semakin ramai pesakit lelaki datang meminta nasihat doktor tentang rawatan perubatan kecantikan.

Sama ada seseorang itu mahukan hidup yang aman tanpa banyak kekecohan ataupun suka berada dalam pandangan orang ramai, saya nampak lebih ramai lelaki sanggup, malah bersungguh-sungguh menghabiskan masa dan wang semata-mata kerana menghendaki penampilan yang kacak dan perasaan bangga diri.

Bidang perubatan estetik pada zaman moden ini menawarkan kaedah-kaedah yang hanya memerlukan pembedahan kecil, mahupun yang langsung tidak melibatkan pembedahan, untuk mengundurkan masa.

Pada tahun 2010, Persatuan Pakar Bedah Plastik Amerika Syarikat melaporkan bahawa kira-kira 12.6 juta prosedur kosmetik dilakukan.

Daripada jumlah ini, lebih daripada 1.1 juta prosedur dilakukan pada lelaki, iaitu peningkatan yang mendadak berbanding dengan angka 225,000 bagi tahun 2000.

Malangnya, kita tidak ada statistiknya bagi Malaysia.

Nampaknya, prosedur yang tidak melibatkan pembedahan besar atau anestesia umum, seperti laser, isian di bawah kulit dan suntikan botulinum toksin, kini semakin popular. Pada tahun 2010, bilangan rawatan begini meningkat 9% sedunia berbanding dengan tahun sebelumnya.

Antara prosedur pembedahan yang lebih mahal, yang dipilih oleh ramai lelaki di merata dunia, ialah penyedutan lemak, penegangan muka, pembedahan kelopak mata dan kantung lemak di bawah mata, dan rinoplasti (mencantikkan hidung).

Rancangan estetik yang terbaik dapat memberikan seseorang itu penampilan yang sebaik-baiknya pada mana-mana peringkat hidupnya. Wajah yang remaja boleh dipelihara jika kita memakan makanan yang berkhasiat, mengelakkan makanan yang mengandungi pengawet dan pewarna, kurang memilih makanan yang berlemak dan berminyak, dan bersenam secara sihat.

Produk penjagaan kulit yang bermutu tinggi seperti pencuci muka, pelembap dan krim perintang cahaya matahari, dapat menjaga kecantikan kulit jika digunakan setiap hari. Tabiat merokok, meminum arak dan menyalahgunakan dadah penting dijauhi.

Pada suatu hari nanti, akan tibalah masanya kita mungkin terfikir hendak menggunakan prosedur kecantikan untuk mengelokkan rupa yang pasti akan menjadi tua kelak.

Walau betapa baiknya kita menjaga makan dan gaya hidup pun, namun kita tetap akan menjadi tua, sungguhpun pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan mereka yang menjalani gaya hidup yang tidak sihat.

Maka akan tibalah harinya kantung lemak di bawah mata kita akan menyerupai mata Xing Xing dan Liang Liang, iaitu pasangan beruang panda comel yang kini menghuni Zoo Negara. Cuma mata yang sebegitu rupa tentulah tidak kelihatan comel pada muka kita ini. Juga akan tibalah harinya kita akan disindir dan diusik kerana badan kita bertambah gempal dan semakin sedap dipeluk.

Untuk memilih doktor kecantikan yang sesuai, pesakit perlu mempertimbangkan kepakaran, pengalaman dan kelayakan doktor tersebut. Selidik dan minta pandangan kawan-kawan dan saudara mara yang pernah menjalani prosedur kecantikan.

Fikirkan betul-betul dan bincanglah dengan doktor sebelum membuat keputusan sama ada sesuatu prosedur itu sesuai untuk anda. Sebenarnya, terdapat pelbagai prosedur kecantikan dan prosedur yang sedang anda fikirkan itu tidak semestinya pilihan yang terbaik untuk anda.

Jangan segan bertanya. Doktor tidak akan memarahi anda. Tanya apa-apa sahaja yang anda mahu.

Doktor boleh mencadangkan cara-cara anda harus mengubah gaya hidup, seperti lebih banyak bersenam, berhenti merokok, kurang meminum arak dan menggunakan produk penjagaan kulit yang sesuai.

Jika anda meneruskan gaya hidup yang tidak sihat, hasil prosedur yang anda jalani mungkin sementara sahaja. Sia-sia sahaja masa, usaha dan wang yang anda gunakan.

LELAKI PADA USIA 30-AN

Setelah lelaki mencapai usia 30 tahun, aras testosteronnya mula menurun. Ini menyebabkan jisim ototnya berkurang pada kadar kira-kira 1% setahun. Lelaki hilang kekuatan dan ototnya menjadi lembik. Maka berkuranglah tarikan kelelakiannya pada pandangan wanita.

Oleh itu, langkah yang paling bijak pada usia ini ialah membina dan menjaga kepejalan otot. Latihan mengangkat beratan berserta senaman aerobik dapat mengekarkan otot sambil menjaga, malah meningkatkan kesihatan jantung dan salur darah.

Anda boleh pergi ke gim untuk mengangkat beratan atau menggunakan pelbagai mesin yang ada untuk membina otot yang akan dicemburui lelaki lain.

Banyak meminum air, menjaga kandungan khasiat di dalam makanan, dan berehat secukupnya boleh meremajakan wajah.

Biar berapa pun usia anda, janganlah berjemur terlalu lama di bawah cahaya matahari. Gunakan krim perintang cahaya matahari dan produk penjagaan kulit yang baik.

Lingkungan usia ini khususnya boleh mempertimbangkan prosedur kecantikan yang tidak berapa melibatkan pembedahan dan memberikan hasil yang nampak asli.

LELAKI PADA USIA 40-AN

Lelaki yang berada di dalam lingkungan usia ini perlu menghadapi masalah kulit yang menggeleber dan muka yang tidak lagi kental. Gelambir, iaitu kulit yang terkumpul di sepanjang leher dan dagu, menjadi lebih ketara. Garis-garis yang timbul di sudut kiri kanan mulut menjadi lebih dalam.

Patutlah semakin ramai orang memanggil anda “Pakcik” sekarang ini.

Maka tidak hairanlah ramai lelaki di dalam golongan usia ini menggunakan botulinum toksin untuk mengurangkan kedut, terutamanya pada dahi, di sudut mata dan di antara kening.

Isian di bawah kulit, contohnya bahan yang diperbuat daripada asid hialuronik, kini amat digemari lelaki. Isian di bawah kulit ialah bahan seakan-akan agar-agar yang digunakan untuk mengisi bahagian yang lekuk, memejalkan bahagian yang kurang padat, dan menghilangkan kedut.

Prosedur kecantikan tanpa bedah yang menegangkan kulit sangat popular. Radiofrekuensi, laser Nd:YAG denyutan panjang, dan penegangan benang adalah antara pilihan yang ada untuk menegangkan kulit yang meluyut.

LELAKI PADA USIA 50-AN KE ATAS

Biasanya, gelambir berlaku dengan lebih pantas pada lelaki yang sudah mencapai usia 50-an. Kulit berlebihan yang tergantung di sepanjang rahang dan leher hodoh rupanya.

Pada usia ini, prosedur pembedahan mungkin diperlukan untuk mendapatkan hasil yang baik. Penegangan kulit muka yang dilakukan oleh pakar bedah plastik yang bertauliah mungkin mampu memberikan hasil yang lebih baik daripada prosedur yang kurang agresif.

Keguguran rambut lebih nyata pada usia ini. Penanaman rambut dan pemindahan rambut boleh dipertimbangkan sebagai rawatan jika kulit kepala semakin menjadi botak.

Walau berapa pun usia anda, saya nasihatkan anda mengambil langkah yang realistik dan terancang untuk memperoleh penampilan yang sebaik-baiknya. Hasil yang hebat-hebat boleh dicapai dengan panduan doktor kecantikan yang memahami semua pilihan rawatan yang ada.

> Dr Chen Tai Ho, doktor estetik yang berpengalaman, gemar berehat di tepi kolam renang sambil menghirup espresso latte apabila beliau tidak melayani pesakit-pesakit kesayangannya. Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya, hantarkan e-mel ke starhealth@thestar.com.my. Maklumat ini disediakan untuk tujuan pendidikan dan komunikasi sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan peribadi. Maklumat yang diterbitkan di dalam rencana ini tidak bermaksud menggantikan, menambahkan atau mengukuhkan rundingan dengan pakar kesihatan tentang rawatan perubatan pembaca. The Star menafikan segala tanggungjawab terhadap apa-apa kerugian, kerosakan harta benda atau kecederaan diri yang mungkin dialami, sama ada secara langsung ataupun tidak, kerana pembaca bergantung pada maklumat ini.

sfit_py_1210_p3_py_1

2014-10-12 07.08.41

2014-10-12 07.09.38