Selamat datang ke Klinik Premier


  Telefon/ Whatsapp/ SMS: +60-12-662 5552   ATAU   Atur Janji Temu

Rencana oleh Dr Chen mengenai Keguguran Rambut

Doktor kecantikan kami, iaitu Dr Chen Tai Ho, mempunyai ruangannya sendiri di dalam akhbar The Star. Pada 6 Julai 2014, rencananya mengenai keguguran rambut dan masalah kepala botak serta rawatannya telah diterbitkan di dalam akhbar tempatan ini. Anda juga boleh membaca rencana ini dalam talian pada halaman ini.

Rencana tersebut diterbitkan semula seluruhnya di bawah ini:
Pernahkah anda berasa hairan apabila kawan anda tiba-tiba lebih kerap memakai tudung atau topi? Ataupun apabila kawan anda mula mengerat gambar yang disiarkannya pada Facebook supaya dirinya hanya kelihatan dari paras dahinya ke bawah sahaja, seolah-olah hendak menyembunyikan garis rambutnya?

Bagi kebanyakan orang, kepala yang dipenuhi rambut yang lebat melambangkan daya pikat dan daya tarik, dari segi peribadi dan juga profesional. Atas sebab ini, prosedur pemulihan rambut mampu memberikan kesan positif yang amat besar terhadap interaksi harian anda dengan orang lain dan juga pada semua aspek lain kehidupan anda.

Seramai 40 juta lelaki dan 21 juta wanita seluruh dunia mengalami masalah kepala botak atau keguguran rambut pola lelaki atau wanita. Kesedaran tentang keguguran rambut sangat meluas pada masa kini disebabkan pasaran pekerjaan yang kompetitif dan juga kesedaran yang ditimbulkan tentangnya oleh media sosial.

Mujurlah, bantuan boleh didapati. Bidang perubatan moden menawarkan pelbagai kaedah yang berkesan merawat masalah keguguran rambut bagi kedua-dua jantina. Anda boleh menyelamatkan rambut anda jika anda pergi berjumpa dengan doktor kecantikan, pakar dermatologi (doktor kulit) atau pakar bedah plastik, dan membincangkan pilihan yang ada.

Bagi keguguran rambut pola lelaki, doktor mungkin memberi anda preskripsi tablet finasteride. Finasteride digunakan untuk mengurangkan kesan buruk akibat suatu hormon yang semula jadi ada di dalam badan, iaitu dihidrotestosteron (DHT).

Rambut gugur terutamanya disebabkan kesan DHT. Finasteride dapat menghentikan atau membalikkan proses tersebut kerana ubat ini menyekat pembentukan DHT.

Percubaan yang dijalankan oleh Pentadbiran Makanan Dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat terhadap 1,500 lelaki telah memperoleh hasil yang menakjubkan. Kira-kira 83% lelaki yang menjalani rawatan selama dua tahun tidak lagi keguguran rambut, malah ada yang mendapati rambutnya mula tumbuh semula. Hasilnya disahkan dengan kiraan bilangan rambut sebenar atau melalui penilaian secara visual.

Setakat ini, finasteride adalah rawatan yang paling lama dan paling berjaya menjalani percubaan FDA.

Minoxidil (larutan 2% atau 5%) ialah semburan atau losen yang digunakan terus pada kulit kepala dua kali sehari untuk merawat masalah keguguran rambut yang diwarisi (alopesia androgenesis), iaitu punca yang paling lazim menyebabkan keguguran rambut.

Minoxidil melambatkan keguguran rambut dan menumbuhkan rambut baru. Bagi lelaki, larutan 5% didapati lebih berkesan daripada larutan 2% tetapi harganya lebih mahal dan boleh menimbulkan lebih banyak kesan sampingan.

Minoxidil didapati menambahkan bilangan folikel rambut dan juga menebalkan rambut yang ada supaya rambut tumbuh dengan lebih lebat. Tidak seperti finasteride yang biasanya digunakan hanya pada lelaki, minoxidil telah diluluskan bagi lelaki dan wanita.

Sesetengah orang yang menggunakan minoxidil mendapati rambutnya tumbuh dengan halus dan jarang-jarang sahaja, serupa dengan bulu pada kulit buah ciku. Minoxidil didapati paling berkesan bagi orang yang belum mencapai usia 30 tahun, yang belum sampai lima tahun lamanya mengalami masalah keguguran rambut. Semburan minoxidil boleh digabungkan dengan tablet finesteride untuk memperoleh hasil yang lebih baik lagi.

Penanaman rambut ialah prosedur mengeluarkan rambut dari kawasan yang ada pertumbuhan rambut, misalnya bahagian belakang kepada (yang disebut kawasan penderma) dan menanamnya ke dalam kawasan yang botak seperti bahagian depan atau mercu kepala (kawasan penerima).

Pesakit diberi ubat anestesia setempat atau ubat penenang untuk mengurangkan rasa sakit. Pakar bedah mungkin mengeluarkan jaluran rambut selebar 8mm hingga 10mm dari kawasan penderma, kemudian membahagikannya kepada bahagian-bahagian kecil yang mengandungi empat atau lima lembar rambut.

Kawasan penderma dijahit tutup, dan ini akan meninggalkan garisan parut sahaja apabila luka itu sembuh sepenuhnya dalam masa 7 hingga 10 hari.

Hirisan kecil dibuat pada kawasan penerima sama ada dengan menggunakan jarum berongga yang halus ataupun mata bilah. Cebisan kulit dari kawasan penderma kemudiannya dipindahkan dengan teliti ke kawasan-kawasan penerima. Dua hingga tiga bulan kemudian, rambut di situ akan mula tumbuh semula.

Pada zaman sekarang, doktor boleh menggunakan mesin Punch Hair Matic untuk mengautomasikan pengeluaran, pengutipan, dan penanaman folikel rambut secara pembedahan, dengan itu doktor tidak lagi perlu mengeluarkan jaluran kulit yang besar dari belakang kepala.

Pembuangan bersasar folikel rambut yang dilakukan satu persatu disebut “pengambilan unit folikel” (FUE). FUE adalah prosedur mikropembedahan yang tidak berapa mencerobohi badan dan sudah bertahun-tahun digunakan. Tetapi selama ini, kaedah ini terlalu banyak memakan masa dan terlalu mahal bagi ramai pesakit. Namun sekarang tidak begitu.

Dengan menggunakan mesin dan bukannya tangan untuk melakukan FUE, doktor menjimatkan masa dan selalunya, hasilnya lebih baik.

Bioserat ialah serat tiruan yang digunakan untuk menggantikan rambut pada kepala botak yang tiada kawasan penderma. Bioserat biasanya digunakan hanya pada sebilangan kecil pesakit sahaja yang langsung tiada rambut penderma, maka mereka tidak dapat menggunakan kaedah penanaman rambut.

Oleh sebab serat tiruan digunakan, sudah tentulah ada kemungkinan berlakunya jangkitan, penolakan, dan masalah lain, dan rambut itu perlu dijaga sepanjang hayat anda.

Kaedah penanaman rambut ini memberi anda hasil serta-merta selepas satu rawatan sahaja. Tidak ada tempoh menunggu sehingga rambut tumbuh. Teknik ini sesuai untuk setiap lingkungan usia, dan juga sesuai bagi kepala yang botak sepenuhnya.

Warna dan panjang rambut dipilih berdasarkan tekstur pada rambut yang masih ada, dan juga mengikut kesukaan pesakit. Pertama, kira-kira 100 bioserat ditanam ke dalam kawasan botak untuk menguji sama ada berlaku tindak balas. Selepas tiga minggu, jika tiada tindak balas, maka baki bioserat itu ditanam dalam satu sesi dengan menggunakan ubat anestesia setempat.

Tempoh penyembuhan tidak diperlukan dan anda boleh menyambung semula kerja anda seperti biasa sejurus selepas menjalani prosedur ini.

Usah bersungut jika anda mula kehilangan rambut. Anda mungkin hanya perlu pergi berjumpa dengan doktor.

Untuk mendapatkan maklumat selanjutnya tentang tablet makan dan semburan yang boleh merawat keguguran rambut, pergi ke sini.

Kami juga ada suntikan mesoterapi yang akan membantu. Pergi ke sini.

Mesin I-Grow kami diluluskan oleh FDA dan boleh anda gunakan di rumah. Ini mesin laser berkuasa rendah yang merangsang pertumbuhan semula rambut.  Pergi ke sini.