Selamat datang ke Klinik Premier


  Telefon/ Whatsapp/ SMS: +60-12-662 5552   ATAU   Atur Janji Temu

Rencana Kami di dalam Akhbar mengenai Masalah Berpeluh-peluh dengan Berlebihan

Kira-kira tiga peratus penduduk negara kita menderita akibat masalah berpeluh-peluh dengan berlebihan. Istilah perubatan bagi penyakit yang amat menyusahkan ini ialah hiperhidrosis.

Dr Chen Tai Ho ada menulis sebuah rencana yang telah diterbitkan di dalam akhbar The Star pada 17 Ogos yang lepas, melalui ruangannya yang disiarkan setiap dua minggu.

Kami menawarkan rawatan Botox untuk mengatasi masalah berpeluh-peluh dengan keterlaluan. Hasilnya tahan sehingga 8 bulan. Prosedur ini ringkas sahaja, tanpa banyak kesan sampingan dan tiada masa penyembuhan.

Baca lagi mengenai rawatan bagi masalah berpeluh-peluh dengan berlebihan ini pada laman web kami di sini here.

Yang berikut ialah seluruh rencana yang ditulis oleh Dr Chen itu, yang telah disiarkan di dalam akhbar The Star.

Istilah perubatan bagi penyakit ini ialah hiperhidrosis. Hiperhidrosis boleh menyebabkan kesan peluh yang memalukan pada pakaian dan bau badan yang sangar.

BAYANGKAN anda cuba menulis tetapi kertas yang anda gunakan untuk menulis itu dibasahi peluh daripada tapak tangan anda.

Ataupun anda sedang berada dalam mesyuarat yang amat membosankan di bilik mesyuarat pejabat anda yang sejuk seperti peti pendingin beku, tetapi kesan peluh daripada ketiak anda kelihatan pada kemeja anda.

Ataupun anda bakal menemui seorang gadis jelita buat kali pertamanya tetapi badan anda dibasahi peluh dan ini amat menjijikkan teman baru anda itu.

Sebenarnya, senario begini memang biasa dihadapi oleh sesiapa sahaja yang mengalami masalah berpeluh-peluh dengan berlebihan, iaitu hiperhidrosis dalam istilah perubatan.

Semua orang akan berpeluh selepas bersenam atau dalam cuaca yang panas, tetapi orang yang berpeluh-peluh dengan berlebihan akan berpeluh dengan begitu banyak sehinggakan peluh itu menitik daripada tangan mereka.

Penyakit ini menyebabkan mereka berpeluh-peluh dengan teruk walaupun tiada sebab untuk berpeluh. Seperti yang dapat kita bayangkan, penderita penyakit ini mungkin mempunyai harga diri dan keyakinan yang rendah.

Kelenjar peluh kita menghasilkan peluh apabila suhu meningkat atau semasa kita melakukan kerja berat, misalnya berlari di padang.

Apabila kita berada dalam situasi yang tegang, misalnya apabila kita terlupa membeli hadiah ulang tahun perkahwinan untuk pasangan kita, atau apabila kita akan menemui seorang jejaka tampan atau gadis jelita buat pertama kalinya, kita juga berpeluh dengan lebih banyak.

Tetapi pada masa-masa lain, kelenjar peluh kita terpendam dan tidak aktif.

Namun begitu, bagi 2%-3% manusia yang menghidap hiperhidrosis, kelenjar peluh tidak berhenti mengeluarkan peluh. Orang begini akan berpeluh-peluh dengan kuat walaupun di dalam bilik yang berhawa dingin, sambil menonton televisyen, ataupun cuma bermalas-malas di atas sofa.

Ada juga antara mereka yang berpeluh walaupun semasa sedang berendam di dalam kolam renang.

Ada dua jenis hiperhidrosis, iaitu hiperhidrosis primer yang menyebabkan tapak tangan, ketiak, muka dan tapak kaki berpeluh-peluh dengan berlebihan tanpa sebab yang nyata, dan hiperhidrosis sekunder yang menyebabkan seluruh badan berpeluh-peluh akibat penyakit lain.

Orang yang menghidap hiperhidrosis primer berpeluh-peluh daripada kelenjar peluh yang tertentu sahaja, iaitu kelenjar peluh ekrin. Kelenjar peluh ini membentuk bahagian paling besar daripada sejumlah dua hingga empat juta kelenjar peluh di dalam badan. Kelenjar ekrin berada terutamanya pada muka, tapak tangan, tapak kaki dan ketiak.

Punca hiperhidrosis primer tidak diketahui, walaupun beberapa kajian menunjukkan bahawa penyakit ini diwarisi. Ramai pesakitnya menderita sejak zaman kanak-kanak lagi.

Saya sendiri ada seorang sahabat semasa zaman sekolah menengah saya dahulu yang menghidap penyakit ini. Tapak tangannya sejuk dan berlengas sepanjang masa dan orang lain berasa geli atau jijik apabila terpaksa berjabat tangan atau bersalam dengannya.

Kawan saya yang juga seorang doktor, juga menghidap hiperhidrosis. Dia sedang menjalani rawatan kerana masalah ini menyusahkannya apabila dia memeriksa pesakit. Pesakit tidak akan menyukai doktor menyentuh mereka jika tangan doktor itu berpeluh-peluh dan berlengas.

Hiperhidrosis sekunder berbeza dengan hiperhidrosis primer. Hiperhidrosis primer menyebabkan pesakitnya berpeluh-peluh dari kawasan yang tertentu sahaja, seperti muka, tapak tangan, ketiak dan tapak kaki, manakala hiperhidrosis sekunder pula menyebabkan seluruh badan berpeluh-peluh dengan banyak.

Hiperhidrosis sekunder berlaku kerana orang yang berkenaan menghidap penyakit lain yang tertentu. Antara penyakit yang boleh menyebabkan hiperhidrosis sekunder ialah diabetes (kencing manis), hipertiroidisme, badan yang gemuk, gout dan jangkitan.

Kehamilan juga boleh menyebabkan si ibu berpeluh-peluh dengan keterlaluan.

Setelah penyakit lain itu diubati, maka masalah berpeluh-peluh dengan berlebihan ini juga akan dapat dikawal. Oleh itu, anda mesti memberitahu doktor jika anda terlalu banyak berpeluh-peluh supaya beliau boleh memeriksa anda untuk mengesan masalah kesihatan yang lain.

Terdapat beberapa jenis rawatan bagi penyakit yang melemahkan semangat ini. Antaranya adalah dengan mengubah gaya hidup anda.

Dengan mengubah gaya hidup dan aktiviti yang anda lakukan, hiperhidrosis primer tidak akan disembuhkan tetapi simptom yang anda alami akan berkurang.

Anda harus mengelakkan pencetus yang diketahui menyebabkan anda berpeluh-peluh dengan lebih teruk, contohnya masakan gulai ayam ibu, atau arak.

Walaupun anda mungkin suka memakai baju yang sendat untuk menampakkan bentuk badan anda yang memikat hati, namun mungkin elok anda tidak memakainya dan memilih pula pakaian longgar yang diperbuat daripada serat asli seperti kain kapas.
Jangan pakai baju yang diperbuat daripada bahan buatan manusia dan tidak berapa telap udara, seperti nilon. Pilihlah stoking yang dapat menyerap peluh dan membenarkan peredaran udara, seperti stoking yang diperbuat daripada kapas. Tukar stoking anda sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Beli kasut yang diperbuat daripada bahan semula jadi, seperti kulit, atau daripada bahan jaringan, dan bukannya bahan sintetik.
Jika produk pencegah peluh yang anda beli tidak dapat mengawal masalah berpeluh-peluh ini, doktor mungkin memberi anda produk yang lebih kuat.

Pencegah peluh yang dibuat dengan aluminium klorida bertindak menyumbat kelenjar peluh. Ini boleh digunakan pada waktu malam sebelum tidur, dan dicuci pada keesokan paginya. Kesan sampingan yang lazim berlaku ialah sedikit kerengsaan, kesan merah-merah atau rasa gelenyar pada kawasan itu.

Jika perubahan gaya hidup dan pencegah peluh yang diberikan oleh doktor tidak meringankan simptomnya, anda mungkin perlu pergi berjumpa dengan pakar dermatologi (doktor kulit), pakar bedah plastik atau doktor kecantikan.

Iontoforesis adalah rawatan yang berkesan menyembuhkan 90% pesakit jika tapak tangan atau tapak kaki anda berpeluh-peluh dengan berlebihan. Rawatan ini boleh juga digunakan pada ketiak, tetapi mungkin tidak berapa mujarab.

Tangan dan kaki diletakkan di dalam semangkuk air yang dilalui arus elektrik yang lemah. Pad sentuh yang basah diletakkan pada setiap ketiak dan arus yang kecil dilalukan melalui pad tersebut.

Arus elektrik itu dapat menyekat kelenjar peluh. Rawatan ini tidak menyakitkan tetapi boleh menyebabkan sedikit kesulitan sementara, seperti kulit yang merah-merah dan rengsa.

Iontoforesis mengambil masa 30 minit dan anda perlu menjalani dua hingga empat sesi seminggu. Simptom yang anda alami itu sepatutnya beransur hilang selepas beberapa minggu, dan selepas itu, jarak antara setiap rawatan boleh dijauhkan lagi, bergantung pada keterukan masalah anda.

Botulinum toksin tentu membuatkan anda terfikir tentang suntikan yang digunakan untuk mengurangkan kedut-kedut pada muka bintang filem. Sebenarnya, Botulinum juga boleh digunakan untuk merawat masalah berpeluh-peluh dengan berlebihan.

Botulinum ialah sejenis protein yang boleh digunakan dengan selamat pada dos yang kecil-kecil. Kira-kira 20 suntikan kecil diberikan pada kawasan badan yang terlibat. Prosedur yang ringkas ini mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk dijalankan.

Toksin ini bertindak menyekat isyarat dari otak ke kelenjar peluh, dengan itu mengurangkan jumlah peluh yang dihasilkan. Hasilnya tahan sehingga lapan bulan. Selepas itu, rawatan selanjutnya diperlukan.

Simpatektomi toraks dengan bantuan video (VATS) ialah pembedahan yang paling lazim dilakukan untuk merawat hiperhidrosis. Ini biasanya disyorkan jika semua pilihan rawatan yang lain telah gagal.

Pakar bedah membuat dua hirisan kecil pada sisi dada untuk membuang sebahagian daripada tisu saraf yang menghubungkan sistem saraf dengan kelenjar peluh yang terlibat.

VATS digunakan untuk merawat masalah berpeluh-peluh dengan keterlaluan pada ketiak, muka dan tapak tangan. Hasil prosedur ini sangat baik.

Sungguhpun begitu, sama seperti mana-mana pembedahan pun, pembedahan VATS juga mungkin menimbulkan beberapa kesan sampingan. Kesan sampingan yang paling lazim berlaku ialah perpeluhan gantian, iaitu bahagian tubuh yang lain pula mungkin akan mula berpeluh-peluh dengan berlebihan.

2014-08-17 09.54.26

2014-08-17 09.56.00