Terdapat dua jenis penyakit kulit vitiligo, iaitu tidak bersegmen (non segmental) dan bersegmen (segmental). Diantara dua jenis ini, vitiligo tidak bersegmen adalah yang paling biasa dijumpai. Vitiligo tidak bersegmen biasanya terbentuk pada kedua-dua sisi tubuh anda dan akan berbentuk tompok putih yang bersimetri. Vitiligo terbentuk pada bahagian kulit yang selalu terdedah kepada cahaya matahari seperti muka, leher, lengan, kaki, dan tangan. Pembentukan vitiligo jenis tidak bersegmen ini adalah perlahan jika tompok-tompok ini tertumpu pada satu kawasan sahaja.
Vitiligo tidak bersegmen boleh dibahagikan kepada 5 jenis sub-kategori yang menjangkiti bahagian-bahagian berbeza.

Umum (Generalised)
Kategori vitiligo ini tidak menjangkiti mana-mana kawasan yang spesifik. Tompok-tompok terbentuk di mana-mana bahagian tubuh badan.

Akrofasial (Acrofacial)
Biasanya terbentuk di jari tangan dan kaki.

Mukosa (Mucosal)
Biasanya terbentuk di bahagian membran mukus dan bibir.

Universal
Sangat jarang dijumpai tetapi apabila menjangkit, akan menyeliputi sebahagian besar tubuh badan.

Fokal
Tompokan tidak tertumpu pada mana-mana bahagian badan.
Walaupun vitiligo bersegmen lebih jarang terjadi berbanding vitiligo tidak bersegmen, tetapi vitiligo ini merebak dengan lebih pantas dan tompokannya hanya menjangkiti satu-satu bahagian badan dan bahagian yang terjangkit itu biasanya adalah bahagian kulit yang meliputi saraf daripada akar dorsal tulang belakang. Vitiligo bersegmen berciri lebih sekata, stabil, dan tidak berkembang tidak menentu seperti vitiligo tidak bersegmen.