Pesakit boleh merawat ekzema dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh didapati di rumah seperti dengan menggunakan pokok lidah buaya dan minyak kelapa. Walaupun bahan-bahan ini tidak mampu untuk merawat secara menyeluruh, tetapi kedua-duanya boleh mengurangkan simptom penyakit ini.

Cuka Epal
Untuk pengetahuan, pesakit ekzema mempunyai kulit yang kurang berasid berbanding dengan kulit yang sihat. Untuk mengimbangi keasidan kulit, pesakit boleh menyapu cuka sari epal yang telah dicairkan kepekatannya di kawasan yang bermasalah. Namun, pesakit harus menggunakan cuka sair epal yang benar-benar cair jika tidak mahu merosakkan tisu lembut kulit kerana ia boleh menyebabkan struktur pertahanan kulit menjadi lemah dan menyebabkan kulit seolah-oleh kelihatan terbakar.

Gel Lidah Buaya
Gel lidah buaya digunakan secara meluas bagi menyejukkan kulit yang dijangkiti ekzema kerana ia mempunyai elemen penyejukan kulit. Sejak berabad lamanya tanaman lidah buaya telah digunakan bagi merawat pelbagai jenis penyakit mahupun ketidakselesaan kulit kerana ia mempunyai unsur-unsur antibakteria, antimikrob, menggalakkan peningkatan sistem imun, menghalang sebarang jangkitan kulit serta membantu dalam menyembuhkan luka.

Minyak Kelapa
Minyak kelapa mengandungi asid lemak sihat dan membantu melembapkan kulit pesakit ekzema. Penggunaan minyak kelapa dara yang semakin menggalakkan kerana sifatnya yang menghalang keradangan dan meningkatkan daya tahan kulit.

Madu
Menyapu madu pada permukaan kulit bukan sahaja membantu mencegah jangkitan, malah dapat melembapkan kulit dan mempercepatkan kadar penyembuhan. Madu merupakan ejen antibakteria dan anti radang semula jadi dalam penyembuhan luka, kerana ia meningkatkan fungsi sistem imun serta membantu tubuh untuk melawan jangkitan kuman.

Minyak Ekstrak Pokok Teh
Ekstrak daun melaleuca alternifolia atau dikenali sebagai daun pokok teh menghasilkan minyak pokok teh dan mempunyai sifat yang sama seperti madu dalam merawat masalah kulit kerana ia mempunyai unsur anti radang, anti bakteria dan membantu dalam menyembuhkan luka. Penggunaan minyak pokok teh secara berterusan mampu untuk mengatasi masalah kulit kering dan kegatalan disebabkan oleh ekzema.

Mandian
Kulit yang kering sudah tentu menyebabkan ekzema bertambah teruk. Oleh yang demikian, ejen pelembap tambahan diperlukan bagi mengatasi masalah ini kerana lapisan luar kulit sudah tidak berfungsi dengan sempurna. Mandi dapat membantu mengatasi masalah ini, dengan syarat, perlu menggunakan suhu air dan sabun yang bersesuaian. Harus diingat juga bahawa, mandi terlalu kerap juga boleh membuat ekzema bertambah teruk kerana sudah pasti semasa mandi, badan akan digosok.

Perubahan Diet Pemakanan
Sesetengah jenis makanan tidak sesuai dimakan oleh pesakit ekzema tetapi ada juga makanan yang dapat membantu menyembuhkan masalah ini. Pesakit boleh mengambil makanan yang bersifat anti radang bagi mengatasi simptom keradangan, kemerahan dan lepuhan kulit. Antara makanan tersebut adalah daripada kumpulan makanan laut seperti ikan, kumpulan sayur-sayuran, kumpulan makanan kekacang, kumpulan buah-buahan dan kumpulan rempah ratus seperti kunyit dan kayu manis. Pesakit juga perlu mengurangkan pengambilan makanan perangsang radang seperti produk tenusu, telur, soya dan gandum.

Produk Penjagaan Kulit, Sabun dan Bahan Pencuci yang bersifat lembut
Untuk mengelakkan kulit menjadi kering, pesakit boleh menggunakan pencuci yang bersifat lembut pada kulit, tanpa buih dan tiada pewangi tambahan. Elakkan juga daripada menggunakan produk yang mempunyai permukaan yang kasar untuk menggosok dan menggelupaskan kulit kerana ia boleh merengsakan kulit. Walau bagaimanapun, kebanyakan sabun pencuci mengandungi bahan kimia berbahaya dan merangsang pembentukan ekzema. Seboleh-bolehnya elakkan daripada menggunakan pelembut pakaian kerana komponen wangian dan bahan kimia yang terdapat padanya boleh memberikan iritasi kulit.